Google,than jumpa blog ni... http://drfauzee.blogspot.com/2011_01_01_archive.html
1. Mengapakah Islam menganjurkan pemilihan nama yang elok kepada bayi
yang baru dilahirkan? Kalau boleh dijelaskan dengan memberi nas atau
hadis yang berkaitan hal ini.
Kita sering mendengar ungkapan: “Apa ada pada nama”?! Nama adalah
lambang identiti seseorang, dengan nama itulah ia dikenali sepanjang
hayat dan menjadi sebutan sampai bila-bila sehingga ke Hari Akhirat.
Dalam bahasa al-Quran, nama adalah terjemahan bagi perkataan al-Ism yang
berasal dari akar kata al-wasm yang bermaksud tanda, dengan maksud
dengan nama akan dapat diketahui dan dikenali seseorang dan menjadi
tanda baginya;
Ada pendapat yang mengatakan ia berasal dari perkataan al-sumuw yang
bermaksud tinggi, sekaligus memberi maksud yang nama adalah gambaran
ketinggian dan keluhuran tuan yang ampunya nama.
Nama juga merupakan gambaran bagi sifat, gaya hidup dan pemikiran kedua
ibu bapa seseorang. Lazimnya anak-anak apabila bersama-sama rakan sebaya
akan membandingkan namanya dengan nama rakan-rakannya dan sering
bertanya apakah maksud di sebaliknya nama masing-masing. Akhirnya
kedua-dua ibubapalah yang menjadi rujukan.
Memberikan nama yang baik kepada bayi yang baru dilahirkan adalah salah
satu daripada kewajipan seorang yang terhadap anaknya, sekaligus menjadi
hak anak yang mesti dipenuhi oleh sang ayah. Dalam satu athar, seorang
anak telah menemui Khalifah Umar dan bertanya mengenai hak seorang anak
keatas bapanya, beliau telah menjelaskan: Memilih ibunya, memperelokkan
namanya dan mengajarkan kepadanya al-Qur`an.
Abu Darda` ada meriwayatkan yang Rasulullah SAW ada bersabda:
Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama
kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkalah nama-namamu. (HR
Abu Daud).
Dalam hadith Samurrah, Rasulullah SAW telah mengabungkan tiga perkara
itu aqiqah, memberi nama dan mencukur kepada yang sebaik-baiknya
dilakukan pada hari yang ketujuh kelahiran. Dalam hadirth riwayat
al-Bukhari dari Sahal bin Saad al-Sa`idi dijelaskan Ibu Abi Usayd telah
membawa anaknya selepas kelahirannya kepada Nabi SAW dimana Rasulullah
SAW bertanya mengenai namanya, lalu diberitahu namanya, Nabi berabda:
Tidak! Bahkan namanya adalah Munzir.
Rasulullah SAW sendiri bila dikurniakan anak dari Juwairiyyah
al-Qibtiyyah telah berkata: Saya telah dikurniakan seorang anak lelaki
semalam lalu saya namakan dengan nama bapa saya, Ibrahim. (HR Muslim).
Hadith ini menjelaskan keluasan tempoh untuk memberi nama, samada pada
hari kelahirannya, hari ketiga atau hari aqiqah. Malah harus pada hari
sebelumnya atau selepasnya.
Isu ini telah diperjelaskan dengan panjang lebar oleh Imam Syam al-Din
Muhammad bin Abu Bakr Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah (m.752H) dalam karyanya
Tuhfat al-Wadud bi Ahkam al-Mawlud dengan menyenarai sejumlah hadith
dari Nabi SAW.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan pemilihan nama yang indah dan baik?
Nama yang elok dan indah ialah nama yang sedap disebut, mempunyai makna
dan dan maksud yang baik, terhindar dari makna dan sifat yang dilarang
olah agama atau sekurang-kurangnya nama-nama asing dan mengelirukan.
3. Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemiliknya
untuk berkelakuan baik. Sejauhmana benarnya nama itu akan mempengaruhi
atau mempunyai kaitan yang rapat dengan personaliti/perwatakan seseorang
itu?
Memang benar yang nama itub lebih kepada aspek maknawi, namun
penguruhnya terhadap luaran juga besar, jika tidak masakan ada orang
yang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih dari menjaga
harta, agar tidak tercemar dan terjejas nama baiknya.
4. Seandainyalah seseorang itu memiliki nama yang bermaksud buruk
atau tidak elok, perlukah dari segi syarak, dia menukarkan nama
tersebut?
Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, baginda telah
menukar nama-nama yang tidak baik. Aishah RA berkata: Rasulullah SAW
telah menukar nama-nama yang buruk (Riwayat Tirmidhi). Ibn Umar berkata:
Anak perempuan Umar dinamakan dengan nama `Asiah (wanita yang derhaka),
lalu dinamakan oleh Rasulullah SAW dengan Jamilah (HR Tirmidhi dan Ibn
Majah).
Ada kes dimana Rasulullah SAW menukar nama seorang yang bernama Abdul
Hajar (hamba batu) kepada Abdullah. Ada yang bernama `Asi (yang derhaka)
lalu ditukar kepada Muti` (yang taat).
5. Dalam memilih nama, apakah garis panduan yang ditetapkan syarak?
Telah disebutkan yangh memilih nama yang baik-baik adalah hak seorang.
Dengan itu ia semestinya hendaklah dilakukan sebaiknya. Jangan pakai
ikut suka sahaja, tanpa panduan.Jika perlu dapatkan penjelasan dan
panduan dari mereka yang berkeahlian dan mengetahui. Inilah yang
dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW, dimana mereka merujuk
perkara tersebut kepada baginda SAW. Rasulullah SAW ada bersabda:
Berikanlah nama dengan nama para Nabi-nabi, dan nama yang paling disukai
oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman…(HR Abu Daud dan al-Nasaii.
6. Segelintir individu yang mempunyai nama yang baik tetapi kita dapati
ia tidak sebagaimana cantik dan baiknya sikap dan tingkah laku empunya
nama. Mengapa itu berlaku? Atau adakah apabila nama itu terlalu berat
untuk dibawa, natijahnya ia jadi sebaliknya?
Nama bukan satu-satu faktor yang menyebabkan seorang itu menjadi baik.
Ia hanya langkah pertama dan permulaan yang semestinya disusuli dengan
langkah seterusnya iaitu mendidik anak-anak itu dengan pendidikan yang
sebaiknya. Tugas ibu bapa tidak selesai dengan memberi nama yang baik
sahaja. Ia hanyalah permulaan yang disusuli dengan asuhan dan didikan
yang berpanjangan. Persekitaran keluarga dan masyarakat yang kondusif
juga mempunyai pengaruh yang besar. Tidak berbangkit soal nama itu berat
atau ringan!
7. Dalam satu situasi di mana kepercayaan ibu bapa atau orang tua dahulu
kepada nama yang tidak mampu dibawa/berat oleh seseorang bayi itu
menyebabkan bayi atau kanak-kanak itu diberikan nama timangan. Ada tidak
ulasannya dari segi syarak dalam hal sebegini?
Dalam Islam, terkenal sejak zaman awal lagi tradisi memberiakn kepada
individu dengan kunyah atau nama timangan ini. Syeikh Abdullah Nasih
Ulwan dalam karyanya Tarbiah al-Awlad telah menyebut beberapa kebaikan
dari nama timangan ini antaranya untuk memulia dan menghargai yang
ampunya diri, mengembangkan personalitinya dan meliharkan kegembiraan
untuknya bila dipanggil dengan nama timangan disamping melatihnya untuk
berinteraksi dengan orang yang lebih tua.
Rasulullalh SAW pernah memangil Abu Hurayrah dengan Aba Hir. `Aishah
dengan `Aishi, Usamah dengan Usaim, Miqdad dengan Qudaim dan sebagainya,
namun ia tiada kaitan dengan nama itu berat untuk dirinya.
8. Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan, bagaimana Islam melihat perkara ini?
Islam menyukai yang baik. Jika ia tidak baik, ia hendaklah dihindari.
9. Menerusi kisah-kisah yang berlaku di zaman Rasulullah di mana baginda
menukarkan nama para sahabat yang mempunyai maksud nama yang tidak elok
kepada baik. Mungkin ketika itu prosedurnya mudah tetapi di zaman
sekarang, tentunya perlu melalui banyak karenah birokrasi. Apakah
pandangan Ustaz dan mungkin ada cadangan agar usaha ini dapat
dipermudahkan?
Saya berpendapat pihak yang berkenaan sepatutnya mempermudahkan
peraturan dan urusan pertukaran nama ini, demi untuk keselesaan mereka
yang terlibat dengan perkara ini.
10. Ada tidak sebarangan tegahan syarak dalam hal berkaitan pemilihan nama?
Yang ditegah ialah menamakan dengan nama yang dilarang seperti nama
yang khusu bagi Allah atau sembahan-sembahan lain. Abdul Rahman bin Auf
berkata nama saya sebelum Islam ialah Abdul Ka`bah lalu ditukar oleh
Nabi SAW kepada Abdul Rahman, begitu juga nama-nama mereka yang
melambangkan kekufuran dan yang terkenal dengan kejahatannya, nama-nama
yang memberikan maksud yang tidak baik. Sekurangnya, nama-nama yang
tidak beridentitikan Islam.
11. Trend pemilihan nama untuk anak-anak sudah semakin berubah di mana
kalau zaman dahulu, nama seseorang itu dipilih lebih kepada keindahan
alam, bunga-bungaan dan hari-hari tertentu. Namun beberapa tahun
kebelakangan ini, pemilihan nama gabungan antara ibu dan bapa, nama-nama
Arab, gabungan nama moden yang bermaksud baik semakin menjadi ikutan
masa kini. Mengapa perubahan ini berlaku mengikut pandangan ustaz dan
apakah pandangan Islam mengenainya?
Perubahan kepada yang baik dan lebih baik adalah digalakkan. Mungkin
hasil dari kesedaran kedua ibu bapa betapa mustahaknya nama-nama yang
baik. Apalah maknanya kombinasi nama ibu dan bapa kalau ia tidak
memberikan apa-apa makna. Nama anak bukanlah eksperimen yang kononnya
lambang kasih sayang suami isteri dengan menabadikan sebahagaian dari
nama ayah dan ibu.
Gambarakanlah situasi dimana semua orang berhimpun di Mahshar nanti
dengan menyebut namanya yang tidak diketahui usul asalnya. Ada baiknya
jika ibu dan bapa menyebut nama anaknya sepenuhnya bukannya rengkasan,
lebih malang jika direngkaskan dengan menggunakan panggilan-panggilan
asing.
Oleh:
Prof Madya Dr Fauzi Deraman